SNIPER











Jika disebut sahaja istilah ‘sniper’ atau penembak tepat, tentu sahaja bayangan yang muncul difikiran umum ialah mengenai anggota kumpulan penembak yang terpilih dengan kemahiran menjejak sasaran serta melaksanakan tembakan dari jarak jauh yang begitu mengkagumkan.

Untuk menjadi seorang sniper bukanlah satu perkara mudah dan latihan yang harus dilalui oleh seorang anggota infantri untuk menjadikan beliau seorang yang diiktiraf sebagai layak memakai lencana sniper adalah diperakui sebagai sesuatu yang amat sukar.

Bagi seorang sniper, selain dari kemahiran untuk menjadikan beliau seorang ‘halimunan’ dari pandangan musuh, beliau juga perlu mahir dalam melaksanakan perkiraan keadan yang tepat, membaca arah angin dan keadaan cuaca, melaksanakan penyamaran yang amat baik serta mampu bertahan dari tekanan beroperasi jauh di belakang kawasan musuh secara bersendirian atau dalam kumpulan kecil antara dua hingga tiga anggota sahaja. Bagi seorang sniper moden beliau dibantu oleh pelbagai jenis sistem dan kelengkapan terkini yang dapat membantu menjadikan tugas beliau lebih mudah serta efektif.

Latarbelakang
Perkataan ‘sniper’ itu sendiri sebenarnya tidak membawa apa-apa makna berkaitan istilah ketenteraan dan sebenarnya berasal dari perkataan ‘Snipe’ iaitu sejenis burung di India yang bersaiz kecil dan bergerak serta terbang dengan pantas. Tentera British yang berkhidmat di India kerap cuba memburu burang tersebut dan sekitar tahun 1773, perkataan ‘sniper’ diwujudkan, iaitu gelaran yang diberikan kepada anggota yang kerap berjaya menembak burung tersebut degan tepat. Gelaran ini seakan memberikan pengiktirafan kepada kemampuan anggota tersebut untuk mendekati serta berpeluang melepaskan tembakan sebelum dapat dikesan oleh haiwan tersebut, yang sebenarnya adalah satu tugas yang sukar kerana lazimnya haiwan mempunyai deria yang lebih peka terhadap persekitaran, apa lagi seekor burung yang dapat terbang dan bergerak pantas di permukaan dan juga udara. Warna dan corak burung tersebut yang menyerupai kawasan persekitaran juga menjadikan tugas mengesan haiwan tersebut sebagai sangat sukar. Pengiktirafan kedua ialah kemampuan anggota tersebut untuk menggunakan sistem persenjataan atau raifalnya dengan cekap sehingga mampu mengenai sasarannya yang kecil dari jarak jauh.

Walaupun nama ‘sniper’ itu sendiri berasal dari perkataan yang diwujudkan oleh anggota tentera British, kewujudan anggota yang ditugaskan khusus bagi memburu anggota musuh dengan tembakan dari jarak jauh atau secara tersembunyi dipelopori oleh tentera Jerman ketika Perang Dunia Pertama. Penggunaan anggota-anggota tentera Jerman yang mempunyai kemahiran tinggi untuk menembak musuh dari jarak jauh secara tepat telah mengejutkan pihak infantri British yang kemudiannya mula menubuhkan pasukan sniper mereka sendiri dalam jangkamasa yang singkat. Sejak dari Perang Dunia Pertama, sniper telah diiktiraf sebagai sebahagian dari juzuk pasukan infantri yang penting dalam sesuatu konflik bagi kebanyakan pasukan tentera.

Menjadi seorang sniper
Sememangnya untuk menjadikan seorang anggota infantri kepada seorang sniper yang cekap, pasukan tentera darat dari negara-negara global mempunyai cara latihan yang berbeza mengikut sistem latihan masing-masing. Namun terdapat beberapa perkara asas atau kepakaran yang sama untuk dipelajari dan dimahirkan oleh setiap anggota yang mahu bergelar sebagai sniper, tanpa mengira dari pasukan tentera negara mana seseorang itu bertugas. Terdapat kemahiran-kemahiran khusus atau skil yang mesti dikuasai oleh setiap bakal sniper. Kemahiran-kemahiran yang dimaksudkan adalah pengetahuan am mengenai tugas seorang sniper, penyamaran halimunan, kemampuan pemerhatian, mengendap, menganggar jarak dan akhir sekali kemampuan melaksanakan penembakan tepat.

Setelah latihan dilaksanakan, setiap anggota akan diuji secara individu. Ini penting kerana sniper tidak akan diuji secara berpasangan atau dalam bentuk tim. Ini kerana dalam tugas seorang sniper, besar kemungkinan seorang anggota sniper akan mendapati bahawa beliau terpaksa beroperasi berseorangan akibat kematian rakannya oleh tembakan atau ditawan musuh. Untuk mendalami secara lebih lanjut mengenai apakah yang diperlukan untuk menjadi seorang sniper, TEMPUR akan mengambil contoh apakah yang diperlukan dari seorang infantri British agar dapat mencapai taraf menjadi seorang sniper dengan mengambilkira enam kemahiran yang telah dijelaskan sebelum ini.

1. Pengetahuan mengenai tugasan sniper
Ini adalah merupakan ilmu pengetahuan mengenai tugasan sniper serta kelengkapan yang diguna pakai bagi tujuan tersebut. Ini termasuklah jenis sistem persenjataan, memahami kesan angin terhadap trajektori anak peluru, membuat perkiraan bagi mengetahui impak anak peluru ke sasaran berdasarkan keadaan persekitaran dan cuaca, kemahiran membaca peta dan foto udara serta jati diri yang tinggi, tidak gentar menghadapi apa jua cabaran di medan. Sebelum melangkah lebih jauh, satu ujian bertulis mengenai pengetahuan yang berkaitan akan diberi kepada anggota tersebut. Ini termasuklah soalan mengenai jarak ke sasaran serta masalah angin dan bagaimana melakukan perkiraan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul akibat arah dan kekuatan tiupan angin yang tidak menentu. Kesemua jawapan bertulis mestilah mempunyai nota perkiraan yang ditulis sendiri oleh anggota untuk membuktikan beliau benar-benar memahami apa yang sepatutnya diketahui.

Penekanan juga diberikan terhadap kemampuan pandu arah atau navigasi. Malah anggota akan diberikan foto udara sesuatu kawasan dan diarahkan untuk melakar grid dan menentukan skala foto tersebut secara tepat. Beliau kemudiannya akan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui dan perlu menentukan di manakah beliau berada berpandukan foto udara yang telah diberikan sebelum ini. Setelah itu enam lagi permasalahan berkaitan foto tersebut perlu diselesaikan, diikuti dengan enam masalah lain berkaitan pemetaan.
Dalam kesemua masalah yang diberikan, anggota mestilah mampu menentukan kedudukan beliau setidak-tidak dalam lingkungan tertentu, contohnya dalam menentukan sudut panduarah, ianya mestilah dalam lingkungan 10mils, untuk grid dalam lingkungan 100 meter, manakala bagi jarak dalam lingkungan 50 meter. Beliau juga mestilah mampu melakukan pergerakan atau perjalanan waktu malam dengan membawa beban 40 lbs serta persenjataan peribadi untuk jarak sejauh lapan kilometer dalam masa satu jam 30 minit.

2. Penyamaran halimunan
Seorang anggota yang mengikuti kursus menjadi sniper mestilah mampu menyembunyikan diri tanpa dapat dilihat oleh dua anggota peninjau yang berpengalaman dari jarak antara 150 hingga 300 meter. Dari jarak yang dinyatakan ini, beliau perlu melepaskan satu das tembakan ke arah kedua pemerhati tersebut dan kedudukan beliau secara fizikal mestilah gagal dikesan, walaupun kawasan di mana beliau menyorok telah ditunjukkan kepada kedua pemerhati itu. Beliau diberikan peluang untuk melaksanakan penembakan sebanyak tiga kali dan perlu lulus dua dari percubaan itu. Beliau diberikan masa selama tujuh, lima dan tiga minit untuk menyembunyikan diri. Beliau juga perlu duduk di posisi selama 20 minit dan mengenal-pasti tiga kad yang bertulis huruf tertentu yang dipamerkan dengan betul.

Ujian dimulakan dengan angggota diberikan tempoh masa untuk menyembunyikan diri. Ini diikuti dengan tempoh masa 20 minit bagi mengenalpasti kad huruf . Seorang anggota tim penilai yang dinamakan ‘walker’(pejalan) akan bergerak sehingga berada 10 meter dari anggota dan akan menggunakan tangan untuk menunjuk di mana anggota berada kepada dua pemerhati (yang merupakan dua sniper berpengalaman yang masing-masing dibekalkan dengan teropong berkuasa 7x). Anggota diberikan 10 saat untuk melepaskan tembakan dan kemudian mengenalpasti huruf yang dipamerkan. Pemerhati pula diberikan dua peluang untuk mencari dan mengenal pasti kedudukan anggota dengan memberitahu kepada ‘walker’ melalui radio di mana mereka percaya anggota tersebut bersembunyi.

3. Kemampuan pemerhatian
Anggota mestilah mampu mencari dan mengenal-pasti 10 objek berkaitan ketenteraan dari jarak lima hingga 300 meter dalam masa 30 minit dengan bantuan binokular serta teropong pengesan. Beliau kemudiannya akan melakar satu lakaran panoramik yang bermutu tinggi. Lukisan tersebut mestilah disiapkan dalam tempoh jangkamasa 10 minit dan pemarkahan penuh adalah 20 mata. Pecahan markah ialah 10 untuk ketepatan, bersih dan mampu dijadikan sebagai petunjuk, lima mata untuk ciri perspektif yang betul dan lima mata lagi sekiranya lakaran turut mencatatkan nota pandu arah, arah utara, tiga jarak utama yang mampu dijadikan panduan dan skala lukisan.

Anggota juga perlu mengenalpasti objek-objek yang dipamerkan dengan tepat. Sejumlah empat mata diberikan jika anggota dapat memberikan gambaran yang tepat. Ini merangkumi dua mata apabila objek dikenalpasti kedudukannya, satu mata apabila objek dikenali dengan tepat dan satu mata tambahan jika dapat menjelaskan sifat dan asal-usul permbuatan objek tersebut (contohnya kotak peluru, buatan Rusia). Anggota juga boleh mendapat markah tambahan jika mereka melakar objek yang dilihat dengan tepat. Sebelum ujian, anggota akan ditunjukkan 40 objek yang berbeza dan kesemuanya adalah objek yang diguna pakai oleh pihak tentera asing. Mereka mestilah meneliti objek-objek tersebut kerana sebahagian darinya akan adalah objek yang akan dipamerkan kelak. Untuk menyukarkan lagi keadaan, hanya sebahagian sahaja dari objek secara fizikal akan diperlihatkan kepada mereka ketika tujuan hakiki. Kemudahan yang diberikan kepada anggota ialah, objek yang dipamerkan mestilah dapat dikesan dengan bonokular dan dikenalpasti dengan teropong pengesan (spotting scope).

4. Mengendap
Anggota mestilah mampu bergerak tanpa dapat dikesan dalam perjalanan antara 1.5 hingga 2km, mengesan satu pos kawalan yang dihuni oleh dua anggota tim penilai dan bergerak pada jarak antara 150 hingga 300 meter dari pos tersebut. Anggota kemudiannya perlu melepaskan dua das tembakan peluru kosong tanpa kedudukan beliau dapat dikesan oleh tim penilai.

Bagi ujian ini anggota akan merangka pelan operasi selama 10 minit dan kemudian bergerak mengendap ke arah kawasan objektif mengikut masa sendiri. Apabila berjaya bergerak pada jarak yang telah ditetapkan, beliau akan melepaskan tembakan yang pertama. Walker kemudiannya akan bergerak 10 meter dari kedudukan akhir anggota dan menunjukkan arah posisi anggota kepada tim penilai. Anggota mempunyai masa 10 saat untuk membuat tembakan yang kedua dan selepas itu membaca empat huruf pada kad khusus. Sistem pejera beliau terutama bacaan jarak dan pembetulan arah angin mestilah berada pada kedudukan yang betul dan tembakan dibuat secara terus tanpa menggunakan apa-apa sokongan fizikal kepada raifal yang digunakan. Anggota mestilah kemudian keluar dari tempat persembunyiannya tanpa dapat dikesan oleh tim pemerhati yang berada di pos kawalan.

5. Menganggar jarak
Anggota mestilah mampu membuat anggaran jarak yang tepat sekurang-kurangnya lapan kali dari sepuluh ujian jarak yang diberikan. Ketepatan anggaran jarak yang dibuat mestilah berada pada peratusan tertentu mengikut cara apa yang digunakan ketika membuat anggaran tersebut. Contohnya apabila menggunakan mata kasar, anggota boleh membuat kesilapan sehingga 15% dari jarak sebenar. Apabila menggunakan binokular, 10% kesilapan dan akhir sekali dengan teropong yang mempunyai retikal Mil-dots, 5%.

6. Ketepatan tembakan
Bagi ujian kemampuan penembakan, seorang anggota akan hanya diberikan gelaran ‘sniper’ sekiranya beliau telah lulus kesemua ujian yang telah dinyatakan sebelum ini dan akhirnya mampu melepaskan tembakan yang membunuh dengan hanya sebutir peluru dari jarak 900 meter terhadap sasaran bersaiz manusia. Ini adalah kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak infantri tentera British bagi membolehkan anggota menerima lencana sniper. Beberapa siri ujian dari jarak antara 300 ke 900 meter akan dilaksanakan dalam beberapa keadaan. Tembakan permulaan adalah dari jarak 900 meter dan kemudiannya secara beransur-ansur turun sehingga jarak 300 meter. Sebahagian dari tembakan mestilah dilaksanakan dari posisi melutut dan duduk. Penembakan dari posisi menirap akan dilakukan hanya beberapa kali sahaja. Ini sengaja dibuat kerana ketika operasi hakiki, sniper akan hanya dapat mencari kedudukan menirap untuk melepaskan tembakan hanya dalam keadaan-keadaan tertentu dan tidak setiap masa.

Senario yang diberikan ini adalah merupakan contoh mengenai apakah ujian serta bagaimanakah proses pemilihan seorang anggota, dari asalnya menjadi hanya seorang infantri sehinggalah kepada anggota yang mempunyai kemahiran khusus, iaitu seorang sniper. Jika diteliti kepada kemahiran dan ujian yang dibuat, jelas sekali kemahiran untuk melaksanakan penembakan adalah merupakan hanya satu juzuk dari kemahiran yang pelbagai. Malah mungkin lebih penting dari itu, kemahiran untuk menyamar serta melaksanakan pergerakan secara halimunan adalah lebih kritikal kepada mereka untuk dapat menghampiri sasaran supaya mampu melepaskan tembakan dengan selesa dan tepat. Selain itu kemahiran fizikal semata-mata bukanlah menjadi penentu kepada kemampuan untuk menguasai kemahiran menjadi seorang penembak tepat, malah beliau juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti tahu menggunakan formula perkiraan sudut dan jarak, selain arah dan kelajuan angin untuk menentukan ciri-ciri penembakan tepat. Ini kritikal terutamanya apabila mahu melakukan penembakan secara mendongak ke sudut lebih tinggi, atau melandai jauh ke kawasan tanah yang lebih rendah.
Kelengkapan dan peralatan
Pada suatu masa dahulu, raifal sniper yang popular digunakan oleh kebanyakan tentera global adalah berkaliber 7.62 x 51mm bagi negara-negara Barat dan Pakatan NATO atau 7.62 x 54mm bagi Rusia dan negara-negara Pakatan Warsaw. Walaupun terdapat kaliber-kaliber lain yang turut digunakan, namun ia adalah dalam jumlah yang amat terhad. Raifal-raifal yang digunakan pula adalah pelbagai dengan raifal bercirikan pengendalian insani atau manual untuk mengendalikan sistem mekanikal adalah yang paling. . .

1 ulasan: