SNIPER











Jika disebut sahaja istilah ‘sniper’ atau penembak tepat, tentu sahaja bayangan yang muncul difikiran umum ialah mengenai anggota kumpulan penembak yang terpilih dengan kemahiran menjejak sasaran serta melaksanakan tembakan dari jarak jauh yang begitu mengkagumkan.

Untuk menjadi seorang sniper bukanlah satu perkara mudah dan latihan yang harus dilalui oleh seorang anggota infantri untuk menjadikan beliau seorang yang diiktiraf sebagai layak memakai lencana sniper adalah diperakui sebagai sesuatu yang amat sukar.

Bagi seorang sniper, selain dari kemahiran untuk menjadikan beliau seorang ‘halimunan’ dari pandangan musuh, beliau juga perlu mahir dalam melaksanakan perkiraan keadan yang tepat, membaca arah angin dan keadaan cuaca, melaksanakan penyamaran yang amat baik serta mampu bertahan dari tekanan beroperasi jauh di belakang kawasan musuh secara bersendirian atau dalam kumpulan kecil antara dua hingga tiga anggota sahaja. Bagi seorang sniper moden beliau dibantu oleh pelbagai jenis sistem dan kelengkapan terkini yang dapat membantu menjadikan tugas beliau lebih mudah serta efektif.

Latarbelakang
Perkataan ‘sniper’ itu sendiri sebenarnya tidak membawa apa-apa makna berkaitan istilah ketenteraan dan sebenarnya berasal dari perkataan ‘Snipe’ iaitu sejenis burung di India yang bersaiz kecil dan bergerak serta terbang dengan pantas. Tentera British yang berkhidmat di India kerap cuba memburu burang tersebut dan sekitar tahun 1773, perkataan ‘sniper’ diwujudkan, iaitu gelaran yang diberikan kepada anggota yang kerap berjaya menembak burung tersebut degan tepat. Gelaran ini seakan memberikan pengiktirafan kepada kemampuan anggota tersebut untuk mendekati serta berpeluang melepaskan tembakan sebelum dapat dikesan oleh haiwan tersebut, yang sebenarnya adalah satu tugas yang sukar kerana lazimnya haiwan mempunyai deria yang lebih peka terhadap persekitaran, apa lagi seekor burung yang dapat terbang dan bergerak pantas di permukaan dan juga udara. Warna dan corak burung tersebut yang menyerupai kawasan persekitaran juga menjadikan tugas mengesan haiwan tersebut sebagai sangat sukar. Pengiktirafan kedua ialah kemampuan anggota tersebut untuk menggunakan sistem persenjataan atau raifalnya dengan cekap sehingga mampu mengenai sasarannya yang kecil dari jarak jauh.

Walaupun nama ‘sniper’ itu sendiri berasal dari perkataan yang diwujudkan oleh anggota tentera British, kewujudan anggota yang ditugaskan khusus bagi memburu anggota musuh dengan tembakan dari jarak jauh atau secara tersembunyi dipelopori oleh tentera Jerman ketika Perang Dunia Pertama. Penggunaan anggota-anggota tentera Jerman yang mempunyai kemahiran tinggi untuk menembak musuh dari jarak jauh secara tepat telah mengejutkan pihak infantri British yang kemudiannya mula menubuhkan pasukan sniper mereka sendiri dalam jangkamasa yang singkat. Sejak dari Perang Dunia Pertama, sniper telah diiktiraf sebagai sebahagian dari juzuk pasukan infantri yang penting dalam sesuatu konflik bagi kebanyakan pasukan tentera.

Menjadi seorang sniper
Sememangnya untuk menjadikan seorang anggota infantri kepada seorang sniper yang cekap, pasukan tentera darat dari negara-negara global mempunyai cara latihan yang berbeza mengikut sistem latihan masing-masing. Namun terdapat beberapa perkara asas atau kepakaran yang sama untuk dipelajari dan dimahirkan oleh setiap anggota yang mahu bergelar sebagai sniper, tanpa mengira dari pasukan tentera negara mana seseorang itu bertugas. Terdapat kemahiran-kemahiran khusus atau skil yang mesti dikuasai oleh setiap bakal sniper. Kemahiran-kemahiran yang dimaksudkan adalah pengetahuan am mengenai tugas seorang sniper, penyamaran halimunan, kemampuan pemerhatian, mengendap, menganggar jarak dan akhir sekali kemampuan melaksanakan penembakan tepat.

Setelah latihan dilaksanakan, setiap anggota akan diuji secara individu. Ini penting kerana sniper tidak akan diuji secara berpasangan atau dalam bentuk tim. Ini kerana dalam tugas seorang sniper, besar kemungkinan seorang anggota sniper akan mendapati bahawa beliau terpaksa beroperasi berseorangan akibat kematian rakannya oleh tembakan atau ditawan musuh. Untuk mendalami secara lebih lanjut mengenai apakah yang diperlukan untuk menjadi seorang sniper, TEMPUR akan mengambil contoh apakah yang diperlukan dari seorang infantri British agar dapat mencapai taraf menjadi seorang sniper dengan mengambilkira enam kemahiran yang telah dijelaskan sebelum ini.

1. Pengetahuan mengenai tugasan sniper
Ini adalah merupakan ilmu pengetahuan mengenai tugasan sniper serta kelengkapan yang diguna pakai bagi tujuan tersebut. Ini termasuklah jenis sistem persenjataan, memahami kesan angin terhadap trajektori anak peluru, membuat perkiraan bagi mengetahui impak anak peluru ke sasaran berdasarkan keadaan persekitaran dan cuaca, kemahiran membaca peta dan foto udara serta jati diri yang tinggi, tidak gentar menghadapi apa jua cabaran di medan. Sebelum melangkah lebih jauh, satu ujian bertulis mengenai pengetahuan yang berkaitan akan diberi kepada anggota tersebut. Ini termasuklah soalan mengenai jarak ke sasaran serta masalah angin dan bagaimana melakukan perkiraan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul akibat arah dan kekuatan tiupan angin yang tidak menentu. Kesemua jawapan bertulis mestilah mempunyai nota perkiraan yang ditulis sendiri oleh anggota untuk membuktikan beliau benar-benar memahami apa yang sepatutnya diketahui.

Penekanan juga diberikan terhadap kemampuan pandu arah atau navigasi. Malah anggota akan diberikan foto udara sesuatu kawasan dan diarahkan untuk melakar grid dan menentukan skala foto tersebut secara tepat. Beliau kemudiannya akan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui dan perlu menentukan di manakah beliau berada berpandukan foto udara yang telah diberikan sebelum ini. Setelah itu enam lagi permasalahan berkaitan foto tersebut perlu diselesaikan, diikuti dengan enam masalah lain berkaitan pemetaan.
Dalam kesemua masalah yang diberikan, anggota mestilah mampu menentukan kedudukan beliau setidak-tidak dalam lingkungan tertentu, contohnya dalam menentukan sudut panduarah, ianya mestilah dalam lingkungan 10mils, untuk grid dalam lingkungan 100 meter, manakala bagi jarak dalam lingkungan 50 meter. Beliau juga mestilah mampu melakukan pergerakan atau perjalanan waktu malam dengan membawa beban 40 lbs serta persenjataan peribadi untuk jarak sejauh lapan kilometer dalam masa satu jam 30 minit.

2. Penyamaran halimunan
Seorang anggota yang mengikuti kursus menjadi sniper mestilah mampu menyembunyikan diri tanpa dapat dilihat oleh dua anggota peninjau yang berpengalaman dari jarak antara 150 hingga 300 meter. Dari jarak yang dinyatakan ini, beliau perlu melepaskan satu das tembakan ke arah kedua pemerhati tersebut dan kedudukan beliau secara fizikal mestilah gagal dikesan, walaupun kawasan di mana beliau menyorok telah ditunjukkan kepada kedua pemerhati itu. Beliau diberikan peluang untuk melaksanakan penembakan sebanyak tiga kali dan perlu lulus dua dari percubaan itu. Beliau diberikan masa selama tujuh, lima dan tiga minit untuk menyembunyikan diri. Beliau juga perlu duduk di posisi selama 20 minit dan mengenal-pasti tiga kad yang bertulis huruf tertentu yang dipamerkan dengan betul.

Ujian dimulakan dengan angggota diberikan tempoh masa untuk menyembunyikan diri. Ini diikuti dengan tempoh masa 20 minit bagi mengenalpasti kad huruf . Seorang anggota tim penilai yang dinamakan ‘walker’(pejalan) akan bergerak sehingga berada 10 meter dari anggota dan akan menggunakan tangan untuk menunjuk di mana anggota berada kepada dua pemerhati (yang merupakan dua sniper berpengalaman yang masing-masing dibekalkan dengan teropong berkuasa 7x). Anggota diberikan 10 saat untuk melepaskan tembakan dan kemudian mengenalpasti huruf yang dipamerkan. Pemerhati pula diberikan dua peluang untuk mencari dan mengenal pasti kedudukan anggota dengan memberitahu kepada ‘walker’ melalui radio di mana mereka percaya anggota tersebut bersembunyi.

3. Kemampuan pemerhatian
Anggota mestilah mampu mencari dan mengenal-pasti 10 objek berkaitan ketenteraan dari jarak lima hingga 300 meter dalam masa 30 minit dengan bantuan binokular serta teropong pengesan. Beliau kemudiannya akan melakar satu lakaran panoramik yang bermutu tinggi. Lukisan tersebut mestilah disiapkan dalam tempoh jangkamasa 10 minit dan pemarkahan penuh adalah 20 mata. Pecahan markah ialah 10 untuk ketepatan, bersih dan mampu dijadikan sebagai petunjuk, lima mata untuk ciri perspektif yang betul dan lima mata lagi sekiranya lakaran turut mencatatkan nota pandu arah, arah utara, tiga jarak utama yang mampu dijadikan panduan dan skala lukisan.

Anggota juga perlu mengenalpasti objek-objek yang dipamerkan dengan tepat. Sejumlah empat mata diberikan jika anggota dapat memberikan gambaran yang tepat. Ini merangkumi dua mata apabila objek dikenalpasti kedudukannya, satu mata apabila objek dikenali dengan tepat dan satu mata tambahan jika dapat menjelaskan sifat dan asal-usul permbuatan objek tersebut (contohnya kotak peluru, buatan Rusia). Anggota juga boleh mendapat markah tambahan jika mereka melakar objek yang dilihat dengan tepat. Sebelum ujian, anggota akan ditunjukkan 40 objek yang berbeza dan kesemuanya adalah objek yang diguna pakai oleh pihak tentera asing. Mereka mestilah meneliti objek-objek tersebut kerana sebahagian darinya akan adalah objek yang akan dipamerkan kelak. Untuk menyukarkan lagi keadaan, hanya sebahagian sahaja dari objek secara fizikal akan diperlihatkan kepada mereka ketika tujuan hakiki. Kemudahan yang diberikan kepada anggota ialah, objek yang dipamerkan mestilah dapat dikesan dengan bonokular dan dikenalpasti dengan teropong pengesan (spotting scope).

4. Mengendap
Anggota mestilah mampu bergerak tanpa dapat dikesan dalam perjalanan antara 1.5 hingga 2km, mengesan satu pos kawalan yang dihuni oleh dua anggota tim penilai dan bergerak pada jarak antara 150 hingga 300 meter dari pos tersebut. Anggota kemudiannya perlu melepaskan dua das tembakan peluru kosong tanpa kedudukan beliau dapat dikesan oleh tim penilai.

Bagi ujian ini anggota akan merangka pelan operasi selama 10 minit dan kemudian bergerak mengendap ke arah kawasan objektif mengikut masa sendiri. Apabila berjaya bergerak pada jarak yang telah ditetapkan, beliau akan melepaskan tembakan yang pertama. Walker kemudiannya akan bergerak 10 meter dari kedudukan akhir anggota dan menunjukkan arah posisi anggota kepada tim penilai. Anggota mempunyai masa 10 saat untuk membuat tembakan yang kedua dan selepas itu membaca empat huruf pada kad khusus. Sistem pejera beliau terutama bacaan jarak dan pembetulan arah angin mestilah berada pada kedudukan yang betul dan tembakan dibuat secara terus tanpa menggunakan apa-apa sokongan fizikal kepada raifal yang digunakan. Anggota mestilah kemudian keluar dari tempat persembunyiannya tanpa dapat dikesan oleh tim pemerhati yang berada di pos kawalan.

5. Menganggar jarak
Anggota mestilah mampu membuat anggaran jarak yang tepat sekurang-kurangnya lapan kali dari sepuluh ujian jarak yang diberikan. Ketepatan anggaran jarak yang dibuat mestilah berada pada peratusan tertentu mengikut cara apa yang digunakan ketika membuat anggaran tersebut. Contohnya apabila menggunakan mata kasar, anggota boleh membuat kesilapan sehingga 15% dari jarak sebenar. Apabila menggunakan binokular, 10% kesilapan dan akhir sekali dengan teropong yang mempunyai retikal Mil-dots, 5%.

6. Ketepatan tembakan
Bagi ujian kemampuan penembakan, seorang anggota akan hanya diberikan gelaran ‘sniper’ sekiranya beliau telah lulus kesemua ujian yang telah dinyatakan sebelum ini dan akhirnya mampu melepaskan tembakan yang membunuh dengan hanya sebutir peluru dari jarak 900 meter terhadap sasaran bersaiz manusia. Ini adalah kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak infantri tentera British bagi membolehkan anggota menerima lencana sniper. Beberapa siri ujian dari jarak antara 300 ke 900 meter akan dilaksanakan dalam beberapa keadaan. Tembakan permulaan adalah dari jarak 900 meter dan kemudiannya secara beransur-ansur turun sehingga jarak 300 meter. Sebahagian dari tembakan mestilah dilaksanakan dari posisi melutut dan duduk. Penembakan dari posisi menirap akan dilakukan hanya beberapa kali sahaja. Ini sengaja dibuat kerana ketika operasi hakiki, sniper akan hanya dapat mencari kedudukan menirap untuk melepaskan tembakan hanya dalam keadaan-keadaan tertentu dan tidak setiap masa.

Senario yang diberikan ini adalah merupakan contoh mengenai apakah ujian serta bagaimanakah proses pemilihan seorang anggota, dari asalnya menjadi hanya seorang infantri sehinggalah kepada anggota yang mempunyai kemahiran khusus, iaitu seorang sniper. Jika diteliti kepada kemahiran dan ujian yang dibuat, jelas sekali kemahiran untuk melaksanakan penembakan adalah merupakan hanya satu juzuk dari kemahiran yang pelbagai. Malah mungkin lebih penting dari itu, kemahiran untuk menyamar serta melaksanakan pergerakan secara halimunan adalah lebih kritikal kepada mereka untuk dapat menghampiri sasaran supaya mampu melepaskan tembakan dengan selesa dan tepat. Selain itu kemahiran fizikal semata-mata bukanlah menjadi penentu kepada kemampuan untuk menguasai kemahiran menjadi seorang penembak tepat, malah beliau juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti tahu menggunakan formula perkiraan sudut dan jarak, selain arah dan kelajuan angin untuk menentukan ciri-ciri penembakan tepat. Ini kritikal terutamanya apabila mahu melakukan penembakan secara mendongak ke sudut lebih tinggi, atau melandai jauh ke kawasan tanah yang lebih rendah.
Kelengkapan dan peralatan
Pada suatu masa dahulu, raifal sniper yang popular digunakan oleh kebanyakan tentera global adalah berkaliber 7.62 x 51mm bagi negara-negara Barat dan Pakatan NATO atau 7.62 x 54mm bagi Rusia dan negara-negara Pakatan Warsaw. Walaupun terdapat kaliber-kaliber lain yang turut digunakan, namun ia adalah dalam jumlah yang amat terhad. Raifal-raifal yang digunakan pula adalah pelbagai dengan raifal bercirikan pengendalian insani atau manual untuk mengendalikan sistem mekanikal adalah yang paling. . .
SENARAI ANAK MELAYU PENGASAS KOMPENI PERCUBAAN ASKAR MELAYU

25_melayu

BARISAN HADAPAN DARI KIRI:
Usman bin Engguk, Jantan bin Abdul Rahman, Ismail bin Tahar, Ibrahim bin Sidek, Buyong bin Md Yasin, Ahmad bin Abdullah, Ngah bin Abdullah dan Ahmad bin Nordin.
BARIS KEDUA:
Abdul Ghaffar bin Abdullah, Ismail bin Ahmad, Abdul Manap bin Abdullah, Hj Kadir bin Hj Hassan, Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman, Ariffin bin Hj Sulaiman, Ahmad bin Dodo, Mohd Taib bin Jais dan Buyong bin Md Yassin
BARISAN KETIGA:
Abdul Rahman bin Md. Yatim, Muhammad bin Kenit, Awang bin Abdullah, Musa bin Ismail, Usman bin Yunus, Abdul Samad bin Abdullah, Mohd Taib bin Jais dan Ismail bin Mahmud. (Naim dan Buyong adalah merupakan tukang masak).


SEJARAH TENTERA DARAT

Sejarah Tentera Darat Malaysia bermula dengan usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak-anak Melayu. Usaha ini bermula semenjak tahun 1902 lagi. Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi mengujudkan pasukan ini. Dalam tahun 1913 Almarhum DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhamad ibni Yam Tunku Antah, Almarhum DYMM Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah, Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Allahyarham Undang Rembau, Datuk Abdullah bin Haji Damad telah menyuarakan hasrat menubuhkan pasukan Askar Melayu.
antah
Tunku Muhamad
ibni Yam
Tunku Antah
Alan
Sultan Alang
Iskandar Shah

dahan
Datuk Abdullah
bin Haji Damad

chulan
Raja Sir Chulan


Hasrat Raja-Raja ini telah menjadi kenyataan apabila di dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No. 11. Bagi menyahut seruan untuk mempertahankan ibu pertiwi, lebih dari seribu pemuda-pemuda Melayu tampil dari pelusuk tanahair telah tampil menawarkan khidmat mereka, tetapi hanya 25 orang sahaja yang berjaya dipilih sebagai pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu. Mereka telah diarahkan untuk melapor diri ke Haig Lines (sekarang IPDA), Port Dickson untuk memulakan latihan pada 1 Mac 1933. Skuad Pertama ini telah menjalankan latihan dengan gigih dan penuh tabah, dan pihak pegawai-pegawai British, selaku jurulatih sangat berpuas hati dengan kebolehan, kecekapan serta semangat keperwiraan yang ditunjukkan. Pada pertengahan tahun 1934, Kompeni Percubaan telah diistiharkan sebagai berjaya dengan cemerlangnya dan layak diperbesarkan ke satu batalion yang lengkap. Seterusnya buat julung kali, pada 4 Nov 1936, seramai empat pemuda anggota Skuad Pertama telah ditauliahkan sebagai pegawai dengan pangkat Leftenan Muda. Mereka adalah No. 8 Ariffin bin Haji Sulaiman, No. 12 Ibrahim bin Sidek, No 13 Ismail bin Tahar dan No. 25 Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman. Dengan tercetusnya peprangan di Eropah pada 3 Sep 1939, latihan anggota Askar Melayu telah dipertingkatkan dan kekuatannya diperbesarkan. Pada 1 Dis 1941, Batalion Kedua Askar Melayu telah ditubuhkan bagi menghadapi serangan Tentera Jepun yang sedang mara. Kompeni A, Batalion Kedua adalah unit Askar Melayu pertama menentang Tentera Jepun yang mendarat di Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan), Kelantan pada 8 Dis 1941. Kekuatan Tentera Jepun yang berlipat ganda telah memaksa Kompeni tersebut berundur ke Kuala Krai dan seterusnya Singapura. Di Singapura, Batalion Pertama dan Kedua Askar Melayu telah berjuang bersama Tentera British menentang kemaraan musuh. Askar Melayu telah berjuang dengan penuh semangat di sekitar kawasan Pasir Panjang, Buona Vista, Labrador dan Alexander. Satu peritiwa yang sukar dilupai dalam sejarah Tentera Darat ialah peristiwa indakan Tentera Jepun menawan Bukit Chandu yang dipertahankan oleh Platun No. 7, Kompeni C, Batalion Pertama Askar Melayu yang diketuai oleh Lt Adnan bin Saidi. Tentera musuh, setelah gagal dalam percubaan yang pertama, mengulangi serangan dengan kekuatan yang berlipat ganda. Di dalam pertempuran yang sengit ini, anggota Platun No. 7 telah berjuang dengan semangat yang gigih tanpa mengaku kalah. Lt Adnan sendiri mengandalikan senjata Lewis Machinegun dan mara mara untuk memberi semangat dan perangsang. Waklaupun mengalami kecederaan, namun beliau telah menunjukkan semangat untuk terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Akhirnya tentera musuh telah berjaya menawan Bukit Chandu dan Lt Adnan telah ditikam dengan benet dan mayat beliau digantung kepala ke sebatang pokok

DARAH SATRIA




Lautan luas banjaran gunung
Rezeki nan melimpah
Bawah langitnya kami bernaung
Rasa kasih tercurah…

Tanah airku bumi bertuah
Tiada bandingannya
Rela bersatu ganding tenaga
Mendaulatkan tenaga

Dengan… sepenuh keazaman
Semangat mu nan waja
Keranamu rela berkorban
Engkaulah pertiwi yang tercinta
Darah satria..(2x)…berkobar didada

Tinggalkan ibu tinggalkan ayah
Serta sanak saudara
Membuktikan kesetiaan kita
Pada bumi Malaysia…

Dengan… sepenuh keazaman
Semangat mu nan waja
Keranamu rela berkorban
Engkaulah pertiwi yang tercinta
Darah satria..(2x)…berkobar didada

Tinggalkan ibu tinggalkan ayah
Serta sanak saudara
Membuktikan kesetiaan kita
Pada bumi Malaysia…

Darah satria..(2x)

KOR POLIS TENTERA DIRAJA


Kor Polis Tentera Diraja telah ditubuhkan pada 12 November 1953 dikenali sebagai Polis Tentera Persekutuan dan diletakkan dibawah pemerintahan dan Pentadbiran Royal Military Police, British Army. Pasukan kecil ini ditugaskan khas untuk menyelenggarakan tatatertib Tentera Darat sahaja. Dewasa ini Kor Polis Tentera Diraja telah berkembang dan memainkan peranan penting meliputi ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, bertanggungjawab terhadap undang-undang, peraturan-peraturan dan perintah-perintah tentera. Kecekapan Kor ini adalah selaras dengan cogankatanya “SEDIA BERKHIDMAT.

REJIMEN ARTILERI DIRAJA


1. Rejimen Artileri Diraja ditubuhkan di Kajang pada 15 Ogos 1957 dengan satu Bateri dimana sebahagian besar anggota-anggotanya ketika itu terdiri daripada bekas anggota Royal Artillery yang pernah berjuang di Pulau Belakang Mati, Singapura semasa Peperangan Dunia Kedua. Pada tahun 1957, seorang pegawai dari Malaya Command telah dihantar ke Singapura untuk mempelawa rakyat Malaya yang berkhidmat di 1st Singapore Regiment Royal Artillery untuk berkhidmat di Bateri Meriam Tentera Persekutuan. Seramai 89 anggota telah bersetuju dan bersedia untuk berkhidmat dengan Tentera Persekutuan. Maka pada 15 Ogos 1957, tertubuhlah 1st Field Battery di Kajang, Selangor dengan dianggotai oleh seramai 89 anggota. Bateri ini menggunakan meriam jenis 25 pounder dan pegawai yang mula menjawat jawatan sebagai Ketua Bateri ialah Maj P Sherston Baker MC, RA. Pada 16 Julai 1959, Capt N.T Lopez iaitu pegawai Tentera Persekutuan yang ulung telah mengambil alih jawatan Ketua Bateri 1st Field Battery dari Maj M. Barkeley RA. Pada tahun 1962, pihak Kerajaan British telah membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah bateri Artileri untuk Tentera Persekutuan di semenanjung Tanah Melayu (Malaysia). Peranan Rejimen Artileri Diraja adalah untuk memberi bantuan tembakan yang berkesan kepada pasukan tempur di medan pertempuran supaya pihak musuh tidak dapat mengganggu operasi pasukan sahabat atau tidak dapat mengatur rancangan operasi mereka dengan efektif.

REJIMEN ASKAR JURUTERA DIRAJA


1. Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah ditubuhkan pada 22 April 1953. Seperti Kor-kor lain juga, RAJD telah mengalami berbagai perubahan sejajar dengan perkembangan dan pembesaran Tentera Darat Malaysia. RAJD bermula dengan peranan awal yang terhad dalam membantu operasi TENTERA PERSEKUTUAN menentang komunis, khasnya dalam tugas-tugas memusnah bom, membersih kawasan periuk api, membina jalan, jambatan, landasan kapal terbang serta menyediakan bekalan air. Sekarang RAJD mampu memainkan peranan yang lebih luas dalam membantu pembangunan negara setelah dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan peralatan dan jentera serta mempunyai pegawai-pegawai dan warga RAJD yang berkemahiran tinggi.

2. Dengan cogan kata "BERUSAHA BERFAEDAH" RAJD yang pakar dalam kejuruteraan tentera terbukti telah menyumbangkan banyak faedah kepada masyarakat dan negara termasuk menyediakan tenaga mahir kepada sektor awam apabila anggotanya bersara. Sebagai tanda pengiktirafan, DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah berkenan mengurniakan gelaran DIRAJA pada 6 Jun 1992. Seterusnya pada 5 Jun 2004, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sekali lagi telah berkenan mengurniakan Panji-Panji Diraja kepada RAJD.

KOR ARMOR DIRAJA


1. Kor Armor Diraja bermula dengan tertubuhnya Federation Armoured Car Squadron pada 1 September 1952. Skuadron ini telah diperbesarkan kepada Federation Amoured Car Regiment dalam tahun 1957. Dalam tahun 1960 Federation Amoured Car Regiment telah dicantumkan dengan Federation Regiment, sebuah battalion infanteri. Percantuman ini melahirkan Kor Peninjau yang telah dikurniakan gelaran Diraja pada 20 Mei 1972. Pada 22 Disember 1979 Kor Peninjau Diraja telah ditukarkan nama menjadi Kor Kavalri Diraja. Tugas kor ini ialah menjalankan operasi secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ dengan sentiasa menyediakan bantuan perisai kepada Tentera Darat. Cogankata Kor Armor Diraja ialah “BERSATU”

REJIMEN SEMBOYAN DIRAJA


Rejimen Semboyan Diraja bermula apabila tertubuhnya ‘Communications Troop’ di Pusat Latihan Askar Melayu Diraja pada tahun 1949 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Terup tersebut telah dianggotai oleh jururadio dari Platun Semboyan Batalion Pertama, Kedua dan Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja.

Bersesuaian dengan peluasan bidang tugas dan tanggungjawab ‘Communications Troop’, terup ini pada awal tahun 1952 telah diberi identiti tersendiri menjadi ‘Federation Signals Squadron’. Bermula dari tarikh ini secara rasminya Skuadron telah diberi tugas dan tanggungjawab khusus untuk menyediakan komunikasi kepada semua pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja.

Dengan penubuhan ‘Federation Army Brigade’ pada tahun 1952, ‘Federation Brigade Siqnal Squadron’ juga telah ditubuhkan. Ia kemudiannya dikenali sebagai ‘Malaysian Signal Regiment’. Rejimen Semboyan juga telah mengiktiraf 15 November 1952 sebagai tarikh penubuhan ‘Federation Signals’ dan ianya telah dijadikan sebagai tarikh rasmi penubuhan Rejimen Semboyan Diraja sehingga sekarang.

Rejimen ini telah melaksanakan peranan dan tugasnya dengan berkesan dan mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap Raja dan Negara, Rejimen Semboyan Malaysia kemudiannya telah dianugerahkan Gelaran Diraja pada 6 Jun 1992 dan dikenali hingga kini sebagai Rejimen Semboyan Diraja.

REJIMEN RENJER DIRAJA


1. Rejimen Renjer Diraja (RRD) adalah salah satu daripada Kor Infantri yang telah ditubuhkan pada 16 Mac 1963. RRD memngandungi 9 batalion yang mana satu batalion sebagai batalion para, satu batalion sebagai battalion mekanis, dan selebihnya adalah batalion infantri standard. RRD juga merupakan kor yang kedua terbesar di dalam Tentera Darat Malaysia selepas RAMD. Perbezaannya dengan RAMD adalah keanggotaan RRD terdiri daripada berbagai kaum dan agama di Malaysia.

2. Menuju cabaran di alaf baru, Kor Infantri telah disusun semula menjadikan ia sebuah ketumbukan yang mantap dan berkeupayaan tinggi dalam melaksanakan setiap tugas. 3 elemen utama iaitu Infantri Standard, Infantri Mekanis dan Infantri Para akan menjadi teras kepada infantrI. Dalam melaksanakan tugas-tugas dalam operasi dan membantu pihak berkuasa awam semasa aman, pasukan infantri baisa telah disusun semula dari segi keanggotaan dan material kepada Batalion Infantri Standard. Dengan latihan yang intensif dalam semua bentuk cabaran samada konvensional mahupun perperangan insurgensi, batalion ini dilatih supaya siap siaga bagi menghadapi ancaman musuh-musuh negara. Dasar pertahanan negara di abad ke 21 memerlukan ketumbukan Tentera Darat yang mampu diaturgerakkan dalam semua keadaan dengan cekap dan pantas. Justeru, pasukan Infantri Para telah ditubuhkan bagi memenuhi keperluan ini.

REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA


1. Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) adalah Kor Infantri yang telah ditubuhkan pada 1 Mac 1933. RAMD memngandungi 25 batalion yang mana dua batalian sebagai Batalian Para, dua batalian sebagai Battalion Mekanis, satu Batalian Istiadat dan selebihnya adalah Batalian Infantri Standard. RAMD juga merupakan kor yang tertua dan terbesar di dalam Tentera Darat Malaysia.

2. Menuju cabaran di alaf baru, Kor Infantri telah disusun semula menjadikan ia sebuah ketumbukan yang mantap dan berkeupayaan tinggi dalam melaksanakan setiap tugas. 3 elemen utama iaitu Infantri Standard, Infantri Mekanis dan Infantri Para akan menjadi teras kepada infantri. Satu batalion akan dikhususkan sebagai Batalion Istiadat. Batalian Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang ditubuhkan pada 1 Jan 1938 telah diubah dari peranan sebagai pasukan infantri biasa kepada batalian infantri istiadat mulai 1 Jan 1989. Di atas kecemerlangan yang telah ditunjukkan serta pencapaian mutu yang tinggi, pasukan ini telah diberi kepercayaan dalam kawalan kehormatan utama setiap kali lawatan pembesar-pembesar luar negara. Dalam melaksanakan tugas-tugas dalam operasi dan membantu pihak berkuasa awam semasa aman, pasukan infantri baisa telah disusun semula dari segi keanggotaan dan material kepada Batalion Infantri Standard. Dengan latihan yang intensif dalam semua bentuk cabaran samada konvensional mahupun perperangan insurgensi, batalion ini dilatih supaya siap siaga bagi menghadapi ancaman musuh-musuh negara. Dasar pertahanan negara di abad ke 21 memerlukan ketumbukan Tentera Darat yang mampu diaturgerakkan dalam semua keadaan dengan cekap dan pantas. Justeru, pasukan Infantri Para telah ditubuhkan bagi memenuhi keperluan ini.

KOR AGAMA ANGKATAN TENTERA


PERKHIDMATAN AGAMA DALAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM) TELAH LAMA BERMULA SELARAS DENGAN PENUBUHAN REJIMEN ASKAR MELAYU PADA TAHUN 1933. WALAU BAGAIMANAPUN PERJAWATAN PADA KETIKA ITU TERLETAK DI BAWAH PENTADBIRAN JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA) DAN BUKANNYA ATM. SEJAK DARI ITU PERKEMBANGAN PERKHIDMATAN AGAMA DALAM ATM SEMAKIN MELUAS SEJAJAR DENGAN KEPERLUAN PERKEMBANGAN ORGANISASI DALAM ATM ITU SENDIRI.